
INSURAN TAKAFUL
Takaful yang bermaksud saling menjamin, berasal dari perkataan Arab - kafala. Konsep takaful bertujuan mengalakkan tolong menolong dan perpaduan di kalangan para peserta selari dengan konsep ta'awun. Dalam Islam, menolong atau menyediakan bantuan amatlah digalakkan.
Dalam perniagaan takaful, pemahaman dari maksud ini merupakan satu agenda penting. Ia diterapkan kepada semua peserta yang mengambil perlindungan takaful untuk berniat ikhlas bagi saling jamin-menjamin di kalangan mereka ketika ditimpa musibah. Secara amnya, objektif dalam industri takaful sebenarnya mempunyai persamaan dengan industri insurans konvensional. Kedua-duanya merupakan instrumen untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik kerana ditimpa musibah. Secara jelasnya, kedua-dua instrumen ini merupakan satu cara yang moden untuk memindahkan risiko yang berlaku dan sudah menjadi kebiasaan, sesuatu ganjaran akan diberi kepada pihak yang sanggup menerima pemindahan risiko ini.
SEBAB UTAMA WAJIB ADA INSURANS/TAKAFUL SEBAGAI PERLINDUNGAN

SEMUA ORANG BERHADAPAN DENGAN RISIKO
Hakikatnya, kita semua berhadapan dengan risiko kematian, kelumpuhan dan penyakit ( 3D; death, disability & diseases ).
Cuma, bila dan bagaimana sahaja yang kita tidak ketahui.
Tetapi, harus diingat, kebarangkalian untuk ketiga-tiga ini menjengah diri kita akan meningkat dari hari ke hari.
Setiap hari berlalu, kita semakin mendekat dengan kematian yang telah ditentukan-Nya.
Semakin banyak kita bergerak dengan kenderaan di atas jalan-raya, semakin tinggi kebarangkalian untuk kemalangan yang bukan sahaja boleh menyebabkan kematian, tetapi juga kelumpuhan (minta dijauhkan-Nya)
Semakin bertambah usia, semakin tinggi risiko untuk mendapat penyakit.
Jadi, perlindungan insurans/takaful boleh menyediakan diri anda dari segi kewangan untuk berhadapan dengan ketiga-tiga risiko utama ini.
Apabila kematian, sekurang-kurangnya ada pampasan untuk isteri dan anak-anak.
Apabila kelumpuhan, ada pampasan untuk menggantikan punca pendapatan yang terjejas.
Apabila diserang penyakit, ada pampasan untuk membayar bil-bil dan keperluan-keperluan rawatan.

MALANG TIDAK BERBAU
Biasa dengar dengan pepatah “Ingat lima perkara sebelum lima perkara”?
Konsep ini juga terpakai dalam insurans/takaful.
Syarat utama untuk mendapat keistimewaan-keistimewaan skim perlindungan insurans/takaful adalah mesti dilindungi sebelum kejadian itu berlaku.
Kita tidak tahu tarikh kematian kita.
Kita tidak tahu bila kemalangan boleh menimpa ke atas kita.
Kita tidak tahu bila penyakit akan datang menjengah.
Oleh kerana kita tidak tahu bila malang akan menimpa, maka perlulah sediakan perlindungan secukupnya terlebih dahulu.

MELINDUNGI HARTA
Jika kita membeli kereta baru ataupun memperbaharui cukai jalan (road tax), diwajibkan untuk mengambil insurans/takaful kenderaan.
Begitu juga jika membeli rumah menggunakan pinjaman/pembiayaan bank, diwajibkan untuk mengambil insurans/takaful tertentu.
Kenapa?
Kerana insurans/takaful ini akan melindungi harta-harta tadi jika berlaku musibah atau sesuatu perkara yang tidak diingini, contohnya kemalangan, kecurian dan kebakaran.
Insurans/takaful bukan sahaja penting untuk melindungi diri, tetapi juga harta bernilai yang kita ada.
Harta yang perlu dilindungi bukan sahaja yang berbentuk fizikal, malah yang bukan fizikal juga.
Contoh utama aset bukan fizikal adalah perniagaan yang dijalankan, mesti dilindungi dengan insurans/takaful secukupnya.
.jpg)
WARISKAN HARTA, BUKAN HUTANG
“Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan …..?”
Apabila kita sudah tiada nanti, sebaik-baiknya janganlah ditinggalkan beban atau hutang yang banyak kepada pasangan, anak-anak atau waris-waris yang ada.
Sudahlah mereka bersedih atas pemergian kita, ditambah pula runsing dengan beban yang ditinggalkan.
Bukankah perit jika memikirkannya.
Sebaik-baiknya, tinggalkanlah legasi atau harta untuk sekurang-kurangnya menampung keperluan mereka.
Lebih-lebih lagi jika kita adalah punca pendapatan utama atau tunggal semasa hayat masih ada.
Dengan mengambil skim perlindungan insurans/takaful secukupnya, masalah ini boleh diatasi.
Ambillah perlindungan secukupnya, pastikan jumlah pampasan yang akan ditinggalkan kepada waris nanti cukup untuk menampung keperluan mereka dalam jangka masa yang panjang.

NIAT MURNI MEMBANTU ORANG LAIN
Berbeza dengan insurans konvesional yang berteraskan kontrak jual-beli, takaful adalah berteraskan kontrak tabarru’ (derma).
Dengan mengambil takaful, peserta-peserta sebenarnya memindahkan sebahagian bayaran kepada tabung derma (tabarru’).
Syarikat takaful berperanan sebagai pengurus tabung ini.
Apabila ada peserta yang ditimpa musibah, bayaran pampasan kepada peserta tadi diambil daripada tabung derma tadi.
Kiranya, wujud konsep jamin-menjamin melalui derma.
PANDUAN MEMILIH PERLINDUNGAN INSURANS TAKAFUL TERBAIK

LANGKAH #1 – KENAL PASTI KEPERLUAN JUMLAH PERLINDUNGAN
Setiap orang mempunyai keperluan jumlah perlindungan yang berbeza.
Berapakah jumlah perlindungan yang sepatutnya?
Mengikut Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Life Insurance Association of Malaysia, LIAM), jumlah perlindungan yang disarankan untuk setiap individu adalah 10 kali ganda pendapatan tahunan.
Jika pendapatan tahunan adalah RM 50,000, maka jumlah perlindungan yang disarankan adalah RM 500,000
Jika RM 30,000 setahun, maka jumlah perlindungan haruslah RM 300,000
Dengan jumlah perlindungan 10 kali ganda pendapatan tahunan, maka nanti jumlah pampasan yang diterima jika terjadi musibah dapat menampung perbelanjaan untuk tempoh 10 tahun; satu tempoh yang panjang sebelum dapat ‘pulih’ daripada musibah yang menimpa.
Maka, jika ingin mendapatkan produk perlindungan insurans takaful terbaik, kenalah buat kira-kira dulu berapakah jumlah perlindungan yang diperlukan.
Apabila dah tahu keperluan jumlah perlindungan diri-sendiri, senanglah apabila berbincang dengan ejen insurans takaful nanti.
Jangan sekadar biarkan ejen menentukan jumlah perlindungan yang perlu anda ambil, sebaliknya berbincanglah baik-baik agar keperluan diri dipenuhi.

LANGKAH #2 – PILIH MANFAAT ATAU RISIKO YANG INGIN DILINDUNGI
Apabila mendapatkan perlindungan insurans takaful terbaik, pastikan sekurang-kurangnya kesemua manfaat asas dapat dilindungi.
Namun, apa yang perlu diketahui, mungkin tiada satu pelan pun yang boleh coverkesemua manfaat asas tersebut secara serentak dalam satu pelan.
Contohnya, untuk melindungi aset, perlu ambil pelan insurans takaful am.
Untuk manfaat kematian, kecacatan/kelumpuhan dan kesihatan pula, perlu ambil pelan insurans takaful hayat/keluarga.
Untuk manfaat kesihatan bagi membayar caj rawatan dan hospital pula, perlu ambil pelan kad perubatan.
Bukan merupakan satu masalah untuk mengambil pelan insurans takaful yang berbeza-beza, asalkan kesemua risiko/manfaat asas dilindungi.
Selepas dah kenal pasti manfaat-manfaat asas yang ingin dilindungi, bolehlah juga kenal pasti manfaat-manfaat tambahan lain seperti khairat kematian, badal haji, simpanan, pelaburan, spouse contributor, waive contributor dan pelbagai lagi manfaat(rider) tambahan lain.
Tetapi, pada masa yang sama, janganlah pula sampai berlebih-lebihan sehingga terlebih perlindungan (over-insured) dan melebihi kemampuan diri untuk membayar.
Contohnya, mengambil 2 atau lebih pelan untuk melindungi satu manfaat yang sama, walhal satu pelan sahaja sudah mencukupi.
Bincang baik-baik dengan ejen insurans takaful yang anda jumpa, dan tentukan manfaat-manfaat yang paling sesuai yang memenuhi kriteria perlindungan yang anda ingini.

LANGKAH #3 – FAHAMI CIRI-CIRI PELAN YANG INGIN DISERTAI
Di Malaysia, ada banyak syarikat penyedia insurans takaful.
Dan setiap syarikat pula, menawarkan pelbagai pelan perlindungan insurans takaful.
Walaupun kebanyakan pelan mempunyai asas atau kerangka yang sama, namun akan ada sedikit perbezaan atau keistimewaan yang ditawarkan oleh setiap syarikat bagi menonjolkan lagi pelan mereka.
Ada pelan yang disertakan sekali dengan simpanan dan pelaburan, ada yang tawarkan pelan manfaat asas sahaja tanpa simpanan.
Sebab itu kena dengar baik-baik penerangan daripada ejen insurans takaful supaya setiap ciri-ciri pelan yang dibentangkan dapat difahami.
Dah faham ciri-ciri pelan, mudah nak pilih pelan perlindungan insurans takaful terbaik.

LANGKAH #4 – TENTUKAN JUMLAH BAYARAN YANG SANGGUP DIKELUARKAN
Pelan perlindungan insurans takaful yang terbaik seharusnya adalah pelan yang mampu dibayar.
Banyak faktor yang mempengaruhi harga sesuatu pelan perlindungan insurans takaful, antaranya umur, jumlah perlindungan, risiko/manfaat dilindungi, status merokok dan status kesihatan.
Untuk dapatkan jumlah perlindungan yang tinggi dan manfaat yang pelbagai, sudah semestinya bayaran juga akan tinggi.
Sebab itulah pada langkah #1 dan #2, kena kenal pasti dahulu jumlah perlindungan yang diperlukan dan tentukan manfaat/risiko yang ingin dilindungi, supaya nanti bayaran untuk pelan tersebut adalah memadai dengan bajet yang diperuntukkan.
Berapa bajet yang sesuai diperuntukkan untuk perlindungan insurans takaful?
Sebaik-baiknya, antara 10% ke 15% daripada pendapatan bulanan, maksimum pun mungkin sehingga 25%.

LANGKAH #5 – DAPATKAN BANTUAN EJEN INSURANS TAKAFUL
Usaha untuk mendapatkan pelan perlindungan insurans takaful terbaik sangat bergantung kepada bantuan ejen insurans takaful yang anda pilih.
Sebaik-baiknya, dapatkan bantuan daripada ejen yang lebih bertindak sebagai penasihat kewangan, bukan sebagai jurujual semata-mata.
Maksudnya, ejen tersebut mampu menasihati anda memilih manfaat perlindungan pada jumlah perlindungan yang diperlukan dan harga yang anda mampu milik, bukan sekadar ‘memaksa’ mengambil apa-apa pelan sebab beliau nak close sale.
Ingat, pilih yang mampu menjadi penasihat kewangan, bukan jurujual semata-mata.
Dengan bantuan ejen yang baik, mudah untuk kenal pasti pelan perlindungan insurans takaful terbaik yang memenuhi keperluan anda.